Kesihatan
Kesan paling ketara adalah terhadap sistem pernafasan manusia. Dianggarkan hampir 50% partikulat terampai yang bersaiz 0.01 hingga 0.1 mikrometer boleh menembusi sistem penapisan pernafasan dan “didepositkan” di dalam paru-paru. Jika perkara ini berlaku, maka kerosakan ke atas organ pernafasan akan berlaku dan ia amat berisiko tinggi terhadap penghidap penyakit asma, sakit kerongkong dan penyakit-penyakit yang mempunyai kaitan dengan jantung.
Kesan setiap komponen utama dalam jerebu ke atas kesihatan manusia.
Komponen Utama Jerebu | Kesan ke atas kesihatan manusia |
Karbon monoksida | Melemahkan pengecutan jantung serta merendahkan jumlah oksigen yang dibawa oleh darah. Mengurangkan keupayaan beriadah dan merbahaya bagi pengidap penyakit jantung yang kronik. |
Sulfur dioksida | Meruncingkan lagi masalah penyakit yang sedia ada terutamanya bronkitis. Menganggu saluran pernafasan penghidap penyakit asma dan batuk. |
Nitrogen dioksida | Merangsang hidung dan tekak terutamanya yang menghidap asma. Meningkatkan jangkitan penyakit melalui udara. |
Plumbum | Merosakkan sistem saraf dan otak. |
Partikulat terampai | Meruncingkan penyakit paru-paru dan jantung, mengubah ketahanan badan melawan bahan yang disedut dan merosakkan tisu paru-paru terutamanya yang berpenyakit jantung dan paru-paru yang kronik. |
Mengurangkn Jarak penglihatan
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya menyerap dan menyerak cahaya matahari yang dikenali sebagai serakan mie. Jarak penglihatan bergantung kepada kebolehanmata untuk melihat objek atau mengenalinya kerana objek akan berada dalam keadaan yang berbeza pada latar belakang yang berbeza. Ia juga bergantung kepada pemindahan haba dari atmosfera. Apabila sesuatu objek tidak dapat dibezakan dengan latar belakangnya maka pandangan menjadi kabur. Keupayaan mata untuk melihat semakin berkurangan akibat halangan dari penyerapan dan penyerakan partikulat-partikulat terampai di dalam udara. Pengurangan jarak penglihatan akan membawa masalah besar kepada aktiviti ekonomi dan harian penduduk.
Sektor Pertanian
Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman. Tumbuh-tumbuhan memerlukan udara dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Jika udara mengandungi bahan pencemar, ini mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Ini mengakibatkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokok-pokok dan tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan basil keluarannya akan terancam.
Kesan ke atmosfera
Pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera kita. Bahanbahan pencemar seperti cfc (kloroflora karbon) dikatakan telah mengakibatkan lapisan ozon kita menjadi nipis dan bocor. Ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Ini mengakibatkan kandungan karbon dioksida dalam udara meningkat serta memberi kesan rumah hijau dan kepanasan bumi akan meningkat. Penipisan lapisan ozon akan mengakibatkan sinar ultra-ungu menembusi atmosfera tanpa lapisan dan menjejaskan kesihatan manusia.
Hujan Asid
Pencemaran udara juga memberi kesan kepada iklim global dan setempat. Pelbagai bahan kimia buangan seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida akan larut dengan wap air dan akan turun sebagai hujan asid. Hujan asid ini berbahaya kerana ia akan mengalir dan meresap ke dalam tanah dan memusnahkan galian dalam tanah sehingga tanah menjadi tidak subur. Kehadiran bahan-bahan pencemar udara juga akan menjejaskan keseimbangan ekologi dan ekosistem yang memberi kesan menyeluruh kepada bumi.